Rabu, 18 Januari 2012

MAAKL Mutual Berhad. Pelaburan swasta dijangka lepasi sasaran RM83 bilion

Pelaburan swasta dijangka lepasi sasaran RM83 bilion - Utusan Malaysia 17/1/2012

PUTRAJAYA 16 Jan. - Pelaburan swasta direalisasi Malaysia pada tahun lepas dijangka melepasi sasaran RM83 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, berdasarkan kepada maklumat terkini, jumlah itu kemungkinan melebihi RM90 bilion.
"Antara tempoh Januari dan September tahun lepas, nilai pelaburan direalisasi berjumlah RM75 bilion," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi tahun ini, Malaysia mampu mengurangkan kesan impak meskipun landskap ekonomi global yang mencabar.
Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan langkah-langkah untuk merangsang aktiviti ekonomi domestik, terutamanya pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggalakkan pelaburan swasta.
"Keutamaan akan diberikan untuk meningkatkan pelaburan domestik dan sektor perkhidmatan," katanya sambil menambah langkah liberalisasi tambahan akan diambil dalam sektor perkhidmatan ketika negara mengukuhkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.
Mustapa juga berkata, cadangan gaji tinggi bagi Skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan merangsang penggunaan domestik.
Beliau berkata, harga komoditi tinggi dan sektor minyak dan gas yang mencatatkan prestasi baik tahun lepas dijangka berterusan tahun ini.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia merancang 138 misi penggalakan pelaburan di luar negara tahun ini dan "amat penting bagi kita untuk terus fokus."
"Semua aktiviti promosi akan menerapkan mesej biasa dan konsisten serta menambah baik penyelarasan di kalangan agensi yang terlibat. Pada peringkat persekutuan, kami nampak jelas apa yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan